Friday, November 30, 2012

Kaum yang lemah

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,
  

  Alhamdulillah, Islam tidak akan selama-lamanya lemah. Jika kita lihat pada tahun 2008-2009 rakyat Palestin di Gaza di serang bertubi-tubi oleh zionis Israel dan mereka menyerang balas dalam keadaan yang penuh dhaif dan tidak seberapa efektif, kita akan lihat pada tahun 2012 ketika sekali lagi rakyat Palestin telah diserang mereka melakukan serang balas yang penuh efektif sehinggakan memaksa Zionis Israel untuk melakukan gencatan senjata hanya selepas 8 hari mengganas berbanding 3 minggu 1 hari pada tahun 2008-2009.

  Bukan itu sahaja, kita juga dapat melihat semakin ramai yang mengambil berat atau sekurang-kurangnya tahu tentang isu Palestin. Kebangkitan kesedaran dari kalangan artis seperti Afdlin Shauki yang menjadi duta Aqsa Syarif, Heliza Helmi dan usrah fitrahnya yang turut membantu dalam menyedarkan rakyat berkenaan isu Palestin, Faizal Tahir yang sanggup menjual trofinya untuk rakyat Palestin dan ramai lagi artis yang semakin sedar.

  Tapi tujuan saya menulis post ini bukannya untuk memuji-muja artis, juga bukan untuk mengampu badan-badan kemanusiaan khusus untuk Palestin seperti Aqsa Syarif,Aman Palestin dan Haluan Palestin yang bilangan like mereka naik secara mendadak setelah berlakunya kekejaman ini. Tidak, itu bukan tujuan saya menulis post ini. Tujuan saya menulis post ini adalah tentang isu yang berlaku baru-baru ini.

  Alhamdulillah, perjuangan Palestin untuk haknya diiktiraf di UN telah berjaya. Tarikh 29 Nov 2012 akan menjadi tarikh yang akan diingati oleh semua rakyat Palestin. Tarikh bersejarah ini menunjukkan bahawa mereka berjaya mengusir Israel daripada menguasai Palestine. Tarikh 29 nov juga merupakan tarikh mula Israel akan berhadapan dengan pengadilan hasil kekejaman mereka dan pelanggaran janji terhadap rakyat Palestine. BUKTI PALESTIN DIIKTIRAF UN
  
  Satu perkara yang pasti adalah Baitul Maqdis akan dimiliki kembali, cuba kita mengkaji balik sejarah

1-Islam membuka Baitul Maqdis dan Palestin di zaman kepimpinan Umar al Khattab. Panglima tentera di zaman Umar al Khattab r.a telah terlebih dahulu menguasai negara Syria di bawah pimpinan Abu Ubaidah al Jarrah dan Mesir di bawah pimpinan Amru al Asr sebelum mereka akhirnya berjaya membuka Baitul Maqdis dan Palestin daripada cengkaman Romawi.

2-Turut berlaku sejarah yang sama di zaman Sultan Salahuddin al Ayyubi. Beliau telah mengusai kawasan selatannya iaitu Mesir dan Sultan Nuruddin Zinki pula menguasai bahagian utara iaitu Iraq, Kurdi & Syria sekarang. Selepas kematian Sultan Nuruddin, beliau mengambil-alih penguasaan dan kepungan dari selatan dan utara sebelum mereka berjaya membebaskan Baitu Maqdis dan Palestin yang telah dikuasai tentera Salib yang terdiri daripada gabungan 20 buah negara Eropah.



   Kalau kita perhatikan dengan betul kita akan sedar bahawa sejarah ini juga akan berulang lagi di masa depan. Regim zalim Bashar al Assad sekarang sebenarnya adalah kroni kepada regim Zionis sejak sekian lamanya. Sepanjang pemerintahan kuku besi ayahnya (Hafiz al Assad) selama 30 tahun dan Bashar al Assad sendiri selama 12 tahun, tiada sebutir peluru pun yang datangnya dari Syria bagi menyanggahi regim Zionis.
  
  Umat Islam di Malaysia harus sedar bahawa mereka berada di satu masa di mana umat Islam di seluruh dunia sedang cuba bangkit mendapatkan hak sebagai seorang Muslim dan hak agamanya untuk tidak diperlekehkan lagi. Jadi mari kita tanyakan pada diri sendiri, adakah kita sedang bersama umat Islam yang lain ataupun masih lena tidur ataupun membiarkan Islam jatuh?
  
  Seperti kata-kata Hassan Al-Banna, yang lemah tidak akan selama-lamanya lemah
  
  "Saudaraku,Janganlah engkau putus asa, kerana putus asa bukanlah akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah cita-cita semalam, dan cita-cita hari ini adalah kenyataan hari esok. waktu masih panjang dan hasrat untuk wujudnya kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita, walaupun fenomena-fenomena kerosakkan dan kemaksiatan menghantui kita. Yang lemah tidak akan lemah sepanjang hidupnya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat."
                                                               Hassan Al-Banna


No comments:

Post a Comment

Bismillah