Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,
Alhamdulillah, setelah sekian lama akhirnya muncul juga hari raya muslim yang kedua iaitu Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali dengan nama Hari Raya Korban. Saya yakin surau atau masjid berdekatan dengan kawasan rumah anda pasti sudah dipenuhi dengan lembu atau kambing. Kalau ada unta memang terbaiklah surau kawasan rumah anda. Lumrahnya Hari Raya ini tidak disambut secara besar-besar seperti Aidil Fitri. Mungkin kerana kurang publisiti dari pihak media ataupun kita sudah penat beraya Aidil Fitri. Walaupun kurang meriah, kita masih sambut jua hari yang penuh mulia dan dipenuhi dengan binatang sembelihan dan bau-bauan yang menusuk kalbu.
Kenapa kita menyambut Hari Raya Aidil Adha? Bukankah kita sudah mempunyai Aidil Fitri? Perlu ke sambut raya kedua? Kalau mengikut Mr Wikipedia, kita menyambut Aidil Adha bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail demi menunjukkan kasih dan cintanya kepada Yang Maha Esa. Saya yakin anda semua dah tahu tentang kisah ini baik ketika belajar di sekolah agama atau mendengar ceramah di surau. Kalau ada sesiapa yang masih kabur tentang cerita itu boleh click di link di sebelah ---> Click me >.<
Aidil Adha sering dikaitkan dengan perkataan "korban". Umumnya kerana pada hari yang mulia ini kita berkorban haiwan-haiwan ternakan seperti lembu, unta dan kambing. Tetapi di sebalik darah dan daging haiwan ternakan itu, apakah erti korban sebenarnya? Adakah korban itu bererti kita berkorban harta kita untuk membeli binatang sembelihan? Adakah korban itu bererti kita korbankan masa dan tenaga kita untuk menyembelih binatang bagi menunjukkan kecintaan kita kepada Allah? Semua itu mungkin betul, tetapi bagi pendapat saya untuk memahami makna korban yang sebenar. Kita kena kembali kepada sejarah korban yang pertama iaitu korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim.
Cuba kita bayangkan sekiranya kita berada di situasi Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim sanggup menyembelih Nabi Ismail bukanlah kerana Nabi Ibrahim mempunyai ramai anak dan tak sayang kepada Nabi Ismail. Malahan Nabi Ibrahim amat merindui Nabi Ismail disebabkan mereka terpaksa berjauhan setelah Siti Hajar diusir ke Mekah bersama Nabi Ismail yang masih seorang bayi ketika itu. Lebih teruk lagi, Nabi Ismail adalah satu-satunya anak Nabi Ibrahim ketika itu.
Jadi secara jujurnya, jika kita berada di tempat Nabi Ibrahim adakah kita akan menyembelih satu-satunya anak kita yang kita sudah lama berjauhan? Adakah kita sanggup untuk membenarkan diri sendiri untuk disembelih oleh bapa sendiri? Saya pasti jawapan yang diberikan adalah kita tidak akan sesekali sanggup. Jadi, kenapa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sanggup melakukan semua hal yang telah disebutkan sebentar tadi? Malah, Nabi Ismail dengan koolnya menjawap "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. InsyAllah kamu akan dapati aku tergolong dalam mereka yang sabar". Cuba bayangkan kita hendak disembelih oleh ayah sendiri, tetapi kita masih tenang dan redha terhadap suruhan Allah.
Kenapa Allah menyuruh Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya sendiri? Padahal Allah boleh menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih binatang lain, bukannya Nabi Ibrahim itu seorang yang miskin tidak mampu membeli binatang sembelihan. Perancangan Allah pasti ada hikmahnya, cuba lihat keimanan seorang ayah yang sanggup menyembelih anak tunggalnya yang telah berjauhan bertahun-tahun lamanya, cuba lihat keimanan seorang anak yang merelakan dirinya untuk disembelihkan. Kerana apa? Kerana inilah korban mereka. Inilah pengorbanan mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Nilai pengorbanan itu tidak terletak kepada jumlah binatang yang disembelihkan. Nilai korban juga bukan terletak pada harta dan kekayaan yang disalurkan untuk agama. Nilai korban yang sebenar ialah kesanggupan kita untuk melakukan sesuatu semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Boleh jadi Encik A mengorbankan 100 ekor lembu, tetapi nilai 100 ekor itu tidak setaraf dengan seekor kambing yang dikorbankan oleh Encik B. Kerana apa? Kerana berat pengorbanan oleh kedua-dua pihak tidak sama. Encik A seorang jutawan yang boleh keluarkan duitnya bila-bila masa sahaja sedangkan Encik B ialah seorang insan yang dhaif tetapi ingin mendekatkan diri kepada Allah dan berharap agar Allah terima korbannya.
Jadi apa kaitannya dengan kita iaitu golongan remaja yang masih tidak kemampuan untuk mengeluarkan duit untuk korbankan haiwan? Luaskanlah skop korbanmu, jangalah menganggap korban itu adalah semata-mata penyembelihan haiwan. Tetapi korban itu adalah segala sesuatu yang kita buat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sebagai contoh yang sesuai dengan pelajar ialah apabila kita mengorbankan masa untuk mengulang kaji. Secara jujurnya berapa ramai yang suka untuk mengulang kaji pelajaran? Tetapi cuba pandang dari segi perspektif kita mengorbankan masa kita untuk mengulang kaji bagi mewujudkan golongan islam yang intelektual. Berpijaklah di bumi realiti, Islam tidak akan tertegak dengan bersemangat kosong sahaja. Islam perlukan ramai golongan intelektual yang akan menjadi pemikir-pemikir islam.
Contoh yang lain ialah apabila kita sanggup berkorban untuk berhenti melakukan sesuatu yang amat kita cintai,sebagai contoh apabila bermain DOTA. Saya faham perasaan mereka yang tergilakan DOTA, ramai di antara mereka ingin cuba berhenti kerana mereka juga sedar yang DOTA banyak menghabiskan masa mereka. Tetapi mereka berfikiran bahawa mustahil bagi mereka untuk berhenti DOTA. Jadi cuba bayangkan, apabila anda yang bermain DOTA berhenti bermain DOTA atas dasar kesedaran yang DOTA itu menghabiskan sisa kehidupan anda. Bukankah itu antara pengorbanan yang terbesar boleh anda lakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah?
Saya yakin bagi mereka yang tergilakan DOTA, inilah pengorbanan untuk kamu semua. Anda tidak perlu menyembelih anak sendiri atau merelakan diri sendiri untuk disembelih. Anda hanya perlu berhenti main DOTA dan gunakan masa sebaik mungkin. Dekatkanlah dirimu kepada Allah dengan pengorbanan ini dan bersabarlah insyAllah ganjaran bagimu adalah syurga. Bukan senang untuk kita melepaskan sesuatu, tetapi tidak wujud benda yang lebih indah daripada pengorbanan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah semata-mata. Allah akan menjadi saksi kepada pengorbananmu. Tunjuklah bukti kecintaanmu kepada Allah melalui pengorbananmu.
Moga Allah terima segala amalan kita dan pengorbanan kita yang sedikit ini. Selamat Hari Raya Aidil Adha.
No comments:
Post a Comment
Bismillah